mutakhir

Bimbang denggi meningkat

Klang: Penduduk Pangsapuri Rebana, Bandar Bukit Raja, di sini, bimbang dengan masalah denggi di kawasan berkenaan semakin meningkat apabila 10 kes demam denggi dilaporkan pada minggu lalu saja.

Penduduk Blok B pangsapuri berkenaan, Latipah Paal, 52, berkata, dia dimaklumkan ramai penduduk terutama di bloknya disahkan dijangkiti demam denggi dan mula berasakan nyawanya terancam.

“Anak saya, Fatteha Paal, 19, juga disyaki dijangkiti demam denggi, saya bersyukur kerana tidak terlalu serius dan dia hanya menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang selama dua malam.

“Apa yang membimbangkan saya terdapat longkang tersumbat di hadapan rumah menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan masalah longkang berkenaan tidak diselenggara dengan betul hampir lima tahun,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Latipah berkata, selain longkang, kawasan perumahan di sini juga tidak diuruskan dengan baik, kawasan lapang dipenuhi rumput tinggi dan sampah sarap merata-rata yang mungkin boleh menjadikan tempat pembiakan nyamuk selain keadaan cuaca yang menggalakkannya lagi.

Seorang lagi penduduk yang juga pesakit denggi, S Renganathan, 48, berkata, dia disahkan dijangkiti demam denggi pada Isnin minggu lalu dan kini dalam proses pemulihan memandangkan dia masih belum dapat berdiri dengan betul.

“Saya turut menerima rawatan di HTAR selama tiga hari dan ini adalah kali pertama saya dijangkiti demam denggi selepas hampir 10 tahun tinggal di kawasan ini.

“Difahamkan ramai yang dijangkiti minggu lalu, ia mungkin akibat longkang tersumbat di hadapan rumah dan ia perlu diselenggara secepat mungkin bagi mengelak ramai lagi yang dijangkiti,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 6:40am
d