mutakhir

Pusat dialisis ringan beban orang FELDA

Kuala Kubu Baru: Kewujudan pusat dialisis di FELDA bakal mengakhiri kesengsaraan lebih 50 penghidap masalah buah pinggang di tanah rancangan itu untuk mendapatkan rawatan.

Ini kerana penduduk di empat tanah rancangan FELDA Wilayah Trolak iaitu FELDA Gedangsa, FELDA Soeharto, FELDA Sungai Tengi dan FELDA Sungai Tengi Selatan sebelum ini terpaksa ke Slim River, Perak, Kuala Kubu Baru dan Bestari Jaya, untuk mendapatkan rawatan.

Selain jauh kerana lokasi berkenaan terletak lebih 40 kilometer dari tanah rancangan didiami, mereka juga terpaksa menanggung kos rawatan yang tinggi.

Malah, pusat dialisis yang ada di hospital kerajaan sangat terhad dan pesakit perlu menunggu giliran yang mengambil masa panjang.

Namun, dengan adanya pusat dialisis di kawasan berhampiran, beban ditanggung dapat dikurangkan.

Ahli Parlimen Hulu Selangor Datuk P Kamalanathan berkata, rawatan dialisis tiga kali seminggu yang perlu dilakukan pesakit buah pinggang membabitkan kos keseluruhan RM200 pada setiap sesi memang membebankan.

“Kini, kita hanya perlu menunggu persetujuan tiga agensi iaitu FELDA, Yayasan FELDA dan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF).

“Hanya selepas ketiga-tiga agensi ini bersetuju, baru kita dapat mulakan tanggungjawab yang cukup baik ini,” katanya selepas melawat lokasi pembinaan pusat dialisis di FELDA Sungai Tengi, semalam.

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 6:40am
d