mutakhir

Macam mana 'awak' boleh tersesat?

Oleh Nor Farhani Che Ad

ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda menangkap seekor anak burung helang sesat yang mengganggu penghuni sebuah rumah di Kampung Padang Temusu, Sungai Petani, hari ini.

Burung helang sewah itu dikatakan berlegar-legar di kawasan rumah itu sejak tiga minggu lalu sehingga turut mencederakan penghuni kediaman terbabit.

Pegawai APM Daerah Kuala Muda Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, anak burung helang itu bertindak sedemikian dipercayai akibat lapar.

“Menurut pengadu, anak burung helang itu berada di rumahnya kira-kira tiga minggu lalu dalam keadaan kelaparan.

“Pengadu memberi burung itu makan, namun dia tidak menyangka ia menjadi semakin agresif dan sering menyambar penghuni rumah setiap kali ingin diberi makan.

“Akibatnya, penghuni mengalami kecederaan termasuk ayah pengadu terseliuh sendi bahu kiri akibat terjatuh selepas diserang oleh burung tu, selain mengalami luka di kaki dan tangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai perkara itu pada 10 pagi dan menghantar tiga anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya berjaya menangkap burung helang itu dengan mengumpannya turun dari bumbung menggunakan ikan dan jaring.

“Kami tidak mengambil masa lama untuk menangkap anak burung helang itu memandangkan ia dalam keadaan lapar, kerana ia sendiri masuk ke dalam jaring untuk mengambil umpan.

“Selepas ditangkap, anak burung helang itu dilepaskan di kawasan hutan di mana tempat ia boleh mencari makanan sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 5:10pm
d