mutakhir

Bahana beli emas online

Oleh Farah Suhaidah Othman

PENIAGA wanita kerugian lebih RM3,000 selepas mendakwa membeli barangan kemas secara atas talian menerusi laman sosial awal bulan lalu.

Noor Suhana Harun, 36, mendakwa dia mengenali penjual barang kemas menerusi Facebook pada hujung tahun lalu, sebelum menjalankan urusan tukar beli cincin emas kepada rantai tangan.

Katanya, selepas membuat penghantaran ke Kampung Kubang Terap, Terengganu, penjual barang kemas terbabit memaklumkan cincin berkenaan berharga RM1,634.

"Bagi menukar beli rantai tangan berharga RM2,822, saya menambah wang sebanyak RM1,188 ke dalam mesin wang deposit tunai ke akaun milik wanita itu pada 25 Disember lalu sebelum berhasrat menukar kepada rantai tangan yang lain berharga RM3,032.

"Saya memasukkan wang berjumlah RM210 ke satu lagi akaun milik wanita sama pada 11 Januari lalu," katanya, hari ini.

Noor Suhana berkata, dia turut membuat pembelian satu lagi barangan kemas iaitu rantai leher berharga RM660 seminggu kemudian dan meminta penjual barang kemas terbabit menghantar kedua-dua barangan kemas yang dibeli serentak.

"Bagaimanapun, saya hanya menerima rantai leher, namun bagi rantai tangan yang dibeli, saya hanya menerima sampul surat kosong tanpa barang yang dibeli yang dihantar menerusi penghantaran pos laju pada 25 Januari lalu.

"Apabila saya bertanya mengenai rantai tangan terbabit, bermacam-macam alasan wanita itu berikan, malah apabila saya bertanyakan mengenai perkara itu di Facebooknya, saya pula dikecam dan diherdik," katanya.

Susulan itu, Noor Suhana membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam di sini semalam bagi membolehkan polis menyiasat perkara itu dan mahu wanita berkenaan memulangkan semula wang miliknya.

Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) negeri, Mohd Rawi Abdullah berkata, beliau menggesa orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penjualan barang menerusi atas talian.

Katanya, orang ramai yang mahu membuat urusan jual beli perlu memeriksa dahulu latar belakang perniagaan penjual terbabit sebelum membeli.

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 5:52pm
d