mutakhir

Warga emas maut dihempap tangki air

Oleh Nur Izzati Mohamad

LELAKI warga emas maut dihempap tangki air di stor di hadapan rumahnya dekat Kampung Selamat, Tasek Gelugor, hari ini.

Dalam kejadian 2.52 petang itu, mangsa yang juga pemilik stor berkenaan dipercayai sedang mengalihkan tangki air itu untuk dimasukkan ke dalam kontena dengan menggunakan jentera ‘fork lift’.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bagaimanapun, tangki air itu tiba-tiba terjatuh lalu menghempap bahagian kiri kepala mangsa.

“Akibatnya, mangsa yang berusia 68 tahun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya,” katanya dalam kenyataan di Tasek Gelugor, hari ini.

Noorzainy berkata, ketika kejadian itu, mangsa dikatakan sedang mengalihkan tangki air itu bersama seorang pekerjanya.

“Anak mangsa yang menyedari kejadian yang menimpa bapanya kemudian polis dan bomba untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 8:43pm
d