mutakhir

Setiap gambar punya cerita

Oleh HM Digital

SETIAP objek bernyawa mempunyai perjalanan hidup berbeza. Itu konsep yang dipaparkan melalui pameran ‘A Tribute to Life’ anjuran Galeri Prima mulai 5 Februari hingga 9 Mac ini di Balai Berita The New Straits Times (NSTP), Jalan Riong, Kuala Lumpur.

Pameran bermula 10 pagi hingga 6 petang yang dibuka pada hujung minggu berdasarkan temu janji itu mempamerkan beberapa gambar ekslusif daripada jurugambar profesional.

Jurucakap Galeri Prima berkata, gambar yang dipamerkan terdiri daripada gambar yang pernah dan belum pernah diterbitkan oleh jurugambar yang pernah memenangi anugerah.

“Gambar terpilih turut melalui proses pemilihan yang teliti supaya pengunjung dapat melihat nilai dan kualiti hidup.

“Malah, terdapat gambar yang diambil melalui kehidupan seharian membabitkan pelbagai emosi, ia pasti memberi pengalaman baru kepada pengunjung,” katanya.

Menurut jurucakap, gambar yang dipilih adalah berdasarkan komposisi, butiran teknikal atau subjek tetapi berdasarkan penceritaan pada setiap gambar yang ingin diketengahkan oleh jurugambar.

Katanya, setiap gambar mempunyai cerita tersendiri dan membangkitkan perasaan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

“Kami percaya, gambar ini akan mengingatkan kita semua tentang nilai kehidupan dan membangkitkan penghargaan kepada kehidupan,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 8:59pm
d