mutakhir

Anak komposer kebas RM15j

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

Subang Jaya: Dianggarkan 5,000 individu menjadi mangsa penipuan sebuah skim pelaburan yang dijalankan anak dan menantu seorang pemuzik serta komposer terkenal yang keseluruhannya berjumlah RM15 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, bagaimanapun sehingga kini hanya 90 individu saja yang hadir membuat laporan polis.

Katanya, 90 laporan membabitkan pengubahan wang haram dan penyelewengan dana syarikat berkenaan diterima.

Menurutnya, lapan kertas siasatan dibuka dan satu kes membabitkan penyalahgunaan wang syarikat didakwa di mahkamah.

“Semua 90 laporan yang diterima membabitkan kerugian RM109,600.

“Namun kita percaya kerugian sebenar adalah lebih besar iaitu RM15 juta dengan anggaran 5,000 individu yang menjadi mangsa tipu,” katanya.

Amar Singh berkata, skim berkenaan aktif menipu orang ramai sejak diperkenalkan pada April 2016 dengan menggunakan modus operandi menawarkan individu menjadi pelabur bagi memasarkan satu produk kesihatan.

Katanya, mangsa dijanjikan pulangan antara 20 dan 30 peratus sebulan dengan nilai pelaburan paling rendah RM3,000.

“Modus operandi syarikat ini ialah dengan menawarkan mangsa menjadi pelabur bagi memasarkan produk kesihatan dan kecantikan menggunakan nama pemuzik terkenal itu.

“Namun selepas membuat bayaran, mangsa tidak menerima pulangan dijanjikan,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 10:29am
d