mutakhir

Cadang kadar tol Linkedua lebih murah

Oleh HM Digital

Putrajaya: Kerajaan akan mengumumkan pengurangan kadar levi kenderaan perdagangan dan tol lebih murah di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) tidak lama lagi bagi mengurangkan kesesakan trafik di Tambak Johor selain menggalakkan lebih ramai pengguna menggunakan Linkedua.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengumuman itu dijangka dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas Mengenai Isu Kesesakan Di Tambak Johor dan Linkedua yang dipengerusikannya semalam akan membawa cadangan pengurangan kadar levi dan tol itu ke mesyuarat Kabinet hari ini untuk diteliti sebelum diputuskan Perdana Menteri.

“Pengurangan kadar levi baru itu penting bagi menarik lebih banyak kenderaan perdagangan untuk menggunakan Linkedua, sekali gus menyuraikan kesesakan teruk di Tambak Johor.

“Bagaimanapun, kadar levi kenderaan perdagangan di laluan Tambak Johor masih dikekalkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Ahmad Zahid berkata, langkah mengurangkan kadar levi itu dijangka dapat mengurangkan sehingga 40 peratus kenderaan perdagangan di Tambak Johor.

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 10:34am
d