mutakhir

Letupan halau gajah [METROTV]

Oleh Poliana Ronnie Sidom

Telupid : Cadangan untuk melatih kumpulan sukarelawan belia kampung di daerah ini yang terdedah kepada ancaman gajah perlu dipercepatkan bagi mengelak insiden tidak diingini, khususnya mengancam keselamatan penduduk.

Ia susulan kehadiran gajah yang menceroboh perkampungan hingga merosakkan tanaman dengan kes terbaru sekurang-kurangnya 20 gajah dalam dua kumpulan dikesan berada berhampiran beberapa kawasan kampung sejak awal tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Gambaron Morius Jeffrey berkata, sebelum ini ada cadangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan hidupan liar bagi melatih kumpulan belia dengan langkah pengawalan dan pengendalian gajah.

Namun katanya, langkah itu belum dilaksanakan menyebabkan belia dari Kampung Gambaron mengambil inisiatif sendiri membuat bahan letupan bagi menghalau gajah yang menghampiri kawasan kampung.

“Kita ada memaklumkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar berkaitan inisiatif ini dan kita mengingatkan belia agar berhati-hati kerana mereka belum dilatih.

“Kehadiran gajah dalam jumlah yang besar membimbangkan penduduk kerana lebih banyak tanaman diganggu, selain berdepan ancaman keselamatan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Morius berkata, enam kawasan yang terdedah kepada risiko gangguan gajah membabitkan Kampung Liningkung, Kampung Bauto, Kampung Gambaron, Kampung Telupid, Pekan Telupid, selain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga berkata, tujuh anggota daripada tiga pasukan membabitkan Unit Penyelamat Hidupan Liar, Jabatan Hidupan Liar Kinabatangan dan Sandakan ditempatkan di daerah ini bagi melakukan pengawalan gajah.

Katanya, 20 ekor gajah dikesan dalam dua kumpulan berasingan dipercayai dari Hutan Simpan Deramakot dan Segaliud berada di kawasan itu.

“Ia adalah kumpulan gajah yang sama pernah dipindahkan ke Hutan Simpan Deramakot, tetapi bergerak semula ke Telupid.

“Kita cuba membuat kawalan gajah terlebih dulu kerana untuk memindahkan haiwan itu memerlukan kos yang tinggi iaitu RM30,000 seekor,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 10:57am
d