mutakhir

Musibah air bertembung

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kota Samarahan: “Hati resah mengenangkan keadaan rumah yang digenangi banjir selain melihat Proton Saga yang digunakan sejak lebih 10 tahun lalu tersadai kerana tidak dapat diselamatkan,” luah Bajuri Achek, 72, mangsa banjir di Kampung Mang Lot di sini.

Lelaki warga emas itu antara 108 penduduk daripada 24 keluarga dari kampung berkenaan yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Kampung Mang sejak Ahad lalu.

Dia berkata, ‘banjir termenung’ yang berlaku di kawasan kampung berkenaan menyebabkan kebanyakan rumah yang dinaiki air tidak dapat dihuni walaupun hujan mula berkurangan sejak kelmarin.

“Air mula naik sejak jam 3 pagi Sabtu lalu menyebabkan saya, isteri dan anak lelaki bergegas menyelamatkan barang dan dokumen penting namun terkilan kerana kereta tidak dapat diselamatkan memandangkan air sudah naik lebih satu meter pada hari kejadian.

“Kawasan kampung ini rendah menyebabkan air hujan tidak dapat disalurkan keluar ke parit dan sungai berhampiran selain masalah perparitan yang menyumbang kepada masalah berkenaan,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan SK Sungai Mang, di sini.

Seorang lagi penduduk, Samsuri Jumat, 38, berkata, limpahan air berlaku bukan saja disebabkan hujan, malah fenomena air pasang besar menjadikan banjir lebih buruk.

Katanya, sejak menetap di kampung berkenaan lebih 30 tahun lalu, banjir kali ini antara terburuk kerana banyak kawasan rendah ditenggelami air sehingga memaksa penduduk berpindah.

“Limpahan air Sungai Batang Samarahan ke kawasan rendah selain hujan berterusan sejak Sabtu lalu menyebabkan air naik secara mendadak, sekali gus menyebabkan ramai penduduk terpaksa dipindahkan atas faktor keselamatan.

“Saya berharap kerajaan dapat membina kunci air di kawasan kampung berhampiran Sungai Batang Samarahan bagi mengawal aliran air terutama ketika air pasang besar ‘bertembung’ fenomena air pasang besar,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju menambah 4,000 khemah bagi menampung keperluan mangsa banjir di Sarawak.

Menurutnya, khemah berkenaan akan dibekalkan dalam tempoh terdekat ke pusat pemindahan di tiga bahagian terjejas termasuk Samarahan, Serian dan Mukah sebagai tambahan 1,000 khemah yang sudah dibekalkan sebelum ini.

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 11:02am
d