mutakhir

PATI Filipina dihantar pulang [METROTV]

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

SERAMAI 790 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan, di sini, malam tadi.

Semua PATI berkenaan berusia lapan hari hingga 70 tahun dihantar dengan menaiki kapal MV Antonia 1 ke Zamboanga, Filipina.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah Datuk Rodzi Md Saad berkata, PATI berkenaan terdiri daripada 560 lelaki, 188 wanita dan 42 orang kanak-kanak.

"Penghantaran ini menjadikan jumlah PATI yang diusir dari negeri ini bagi untuk tahun ini sehingga malam tadi ialah 1,567 orang, manakala PATI diusir sejak tahun lalu hingga hari ini (semalam) ialah 13,540 orang.

"Jumlah PATI yang diusir dari negeri ini, termasuk pulang secara sukarela sejak 1990 ialah 566,191 orang," katanya kepada media di kapal MV Antonia 1 di Pelabuhan Sandakan sempena pengusiran PATI, malam tadi.

Mohd Rodzi berkata, pengusiran itu adalah komitmen berterusan kerajaan dalam menangani masalah kehadiran PATI di Sabah.

"Bagi penghantaran kali ini, mereka ditempatkan di ruangan penumpang di tingkat tujuh (paling atas) kapal yang memiliki kelengkapan tempat tidur berkatil serta tilam. Ruangan ini juga memiliki kantin sendiri.

"Selain itu, mereka boleh memilih ruangan di tingkat lima kapal. Ia lebih selesa kerana ada alat pendingin hawa. Selain itu, kapal ini menyediakan ruang beriadah." katanya.

Pihaknya turut mengingatkan pihak tertentu supaya tidak membuat dakwaan tidak berasas yang boleh membawa implikasi negatif berhubung tindakan pengusiran PATI, kononnya dilaksanakan kerana berunsurkan politik semasa di negeri ini.

"Kerajaan dan MKN Sabah sentiasa bertindak sejajar undang-undang negara dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"MKN Sabah tidak berganjak dalam usaha menjadikan Sabah mencapai matlamat sifar PATI dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak demi keselamatan dan kemakmuran rakyat negeri," katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 11:20am
d