mutakhir

Doakan Salman ditemui...

Oleh Erika George

KONDUKTOR feri dikhuatiri lemas selepas hilang dihanyutkan arus deras Sungai Kemena, Bintulu, malam tadi.

Dalam kejadian pada 9.45 malam, mangsa Salman Hassan, 44, yang berasal dari Kampung Sebauh Hilir sedang mengikat tali sauh feri dinaikinya sebelum tergelincir lalu terjatuh ke sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkipli Suhaili ketika dihubungi mengesahkan kejadian, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sudah dilancarkan.

"Ketika kejadian, arus sungai agak deras berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu, dengan beberapa kawasan penempatan berhampiran dilanda banjir," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, kru feri yang lain cuba untuk menyelamatkan mangsa, namun gagal kerana arus terlalu deras dan membahayakan keselamatan.

"Operasi SAR dilancarkan sejurus laporan dibuat di Balai Polis Sebauh pada 10.58 malam tadi," katanya.

Katanya, pencarian dilakukan oleh pasukan penyelamat termasuk penduduk kampung di kawasan hilir Sungai Kemena membabitkan jarak antara 30 hingga 40 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 11:50am
d