mutakhir

Satu kes disahkan positif Influenza A

Oleh Mohd Sabran Md Sani

HANYA seorang murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Dahlia, Pasir Gudang disahkan menghidap virus Influenza A selepas mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta, Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata, perkara itu dimaklumkan ibu bapa murid terbabit kepada pihak sekolah selepas mangsa disahkan sihat selepas dirawat selama tiga hari di hospital terbabit.

"Berdasarkan laporan, pihak sekolah sudah mengambil langkah proaktif dengan memindahkan murid kelas terbabit ke bilik lain bagi meneruskan pembelajaran, sementara bilik darjah asal dibersihkan," katanya dalam laporan penyiasatan mengenai penutupan kelas ekoran kes Influenza di SK Taman Dahlia, Pasir Gudang, hari ini.

Berikutan laporan itu, Ayub berkata, pejabat kesihatan daerah sudah menjalankan aktiviti pencarian kes lain di sekolah terbabit.

"Sehingga kini hanya satu kes sahaja yang disahkan Influenza A di sekolah terbabit. Pejabat kesihatan daerah akan memantau situasi keadaan dari semasa ke semasa melalui klinik-klinik kesihatan terdekat," katanya.

Katanya, Flu A adalah sejenis penyakit berjangkit saluran pernafasan disebabkan oleh virus Influenza A.

"Gejala jangkitan adalah serupa dengan gejala gejala seperti Influenza (ILI) lain seperti demam, batuk, selsema, sakit tekak, sakit badan dan lesu.

"Kebanyakan pesakit akan mengalami gejala ringan, namun terdapat sebilangan kecil pesakit yang boleh mendapat komplikasi seperti pneumonia, encephalitis (radang otak) serta boleh menyebabkan penyakit lain bertambah teruk seperti asma.

“Cara jangkitan adalah melalui cecair batuk atau bersin daripada pesakit yang dijangkiri Influenza A," katanya.

Katanya, langkah pencegahan yang perlu diambil termasuk mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti membasuh tangan menggunakan air dan sabun atau penggunaan pembersih anti bakteria.

"Amalkan etika batuk yang baik dan mendapatkan rawatan dengan segera jika mengalami tanda-tanda di atas dan elakkan tempat-tempat tumpuan ramai, selain memastikan tahap kebersihan persekitaran yang tinggi,” katanya.

Berita berkaitan

Masih tunggu laporan lengkap

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 1:37pm
d