mutakhir

Hampir maut termakan gulai keladi beracun

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Amran Yahya

MUNTAH, tekak terasa panas, mata kemerahan dan berair adalah antara simptom dialami tiga sekeluarga selepas makan gulai keladi yang dipercayai beracun, sehingga menyebabkan mereka dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Siti Aida Mohamad, 40, dan anak sulungnya Nor Shamira Jamal, 20, serta anak saudara, Zulfakar Norizam, 18, nyaris maut sekiranya gagal mendapatkan rawatan segera.

Menceritakan kejadian pada Ahad lalu, Siti Aida berkata, dia mengambil pokok keladi itu di belakang rumahnya di Kampung Lonek, Kepis Hilir di sini, sebelum dibersihkan dan dimasak gulai.

“Sebaik siap, saya menghidangkannya dan kami makan tengah hari bersama. Secara tiba-tiba Nor Shamira berlari ke bilik air dan muntah sebelum memberitahu tekaknya terasa panas.

“Tidak lama kemudian, saya dan anak saudara pula muntah dan mengalami simptom sama. Lebih memeritkan mata kami pedih dan bertukar kemerahan selain air liur meleleh,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Siti Aida berkata, suaminya yang pulang tidak lama selepas kejadian, segera menghantar mereka ke HTAN untuk rawatan lanjut sebelum dia dan anaknya dibenarkan pulang semalam, manakala anak saudaranya masih menerima rawatan di hospital.

Menurutnya, doktor memaklumkan simptom dialami mereka berkemungkinan disebabkan termakan keladi liar beracun yang boleh membawa maut sekiranya terlambat menerima rawatan.

Berikutan kejadian itu, suami Siti Aida, Jamal Ahmad, 50, berkata, dia memusnahkan semua pokok keladi di belakang rumahnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Saya menanam keladi di belakang rumah sejak enam tahun lalu, namun tidak pernah berlaku kejadian seperti itu. Saya percaya ada keladi liar tumbuh berhampiran dan isteri saya tidak sengaja mengambilnya untuk dimasak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Zainudin Mohd Ali, berkata pihaknya perlu menjalankan pemeriksaan dan rawatan terperinci sebelum dapat mengesahkan simptom dialami mangsa disebabkan oleh keladi.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan ada pokok keladi yang tidak boleh dimakan kerana mempunyai kandungan toksin tinggi yang boleh membahayakan nyawa terutama golongan warga emas, wanita mengandung dan kanak-kanak.

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 4:03pm
d