mutakhir

Militan Daish Indonesia didakwa mahu serang Bukit Aman

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

BURUH binaan warga Indonesia yang dipercayai terbabit dalam rancangan untuk menyerang Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan memberi sokongan dan memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas Daish.

Mohd Al-Arshy Mus Budiono, 23, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memberi sokongan kepada militan itu dengan memiliki barangan kumpulan itu di No 18067-Tingkat Atas, Jalan Pasir Putih, Kampung Pasir Petaling, Klang Lama pada jam 3.30 petang, 17 Januari lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana barangan yang digunakan atau diniatkan untuk melakukan kesalahan itu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki barangan berunsur perbuatan pengganas termasuk dua bendera Daish, sehelai kertas A4, sebilah pisau berserta sarungnya dan gelang tangan yang semuanya dilukis bendera Daish di tempat dan masa yang sama.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana barangan itu.

Mahkamah menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, tertuduh dipenjara empat bulan dan satu sebatan atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa memiliki pas yang sah.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku salah apabila pertuduhan dibacakan kepadanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Jalan Awan Hijau, Taman Overseas Union di ibu kota pada jam 3 petang, 17 Januari lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan sebatan maksimum enam kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin @ Baharum manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 4:43pm
d