mutakhir

Nasib baik tak rentung

Oleh Rosliza Mohamed

JERITAN jiran menyelamatkan enam sekeluarga daripada terperangkap dalam kebakaran di Kampung Chekok Serendah, Ketereh, hari ini.

Ketika kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, pasangan warga emas berusia lingkungan 70-an bersama anak perempuan serta tiga cucu berusia antara satu hingga lima tahun sedang bersarapan di bahagian dapur.

Saksi kejadian, Mazlan Mamat, 56, berkata ketika kejadian dia berada di kedainya yang menjual makanan haiwan bersama seorang pelanggannya.

“Tiba-tiba pelanggan saya ternampak asap dari rumah keluarga terbabit yang terletak di seberang jalan yang jaraknya kira-kira 30 meter.

“Saya dan rakan berlari ke arah rumah mangsa dan masuk ke ruang tamu yang dipenuhi asap sambil menjerit nama mangsa supaya menyelamatkan diri.

“Pada masa sama rakan saya menutup suis utama di rumah berkenaan, sebelum mereka sekeluarga keluar menyelamatkan diri menerusi pintu dapur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, rumah berkenaan hangus sama sekali dan keluarga terbabit tidak sempat menyelamatkan apa-apa.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Penolong Penguasa Bomba Mohd Rafain Mat Zain, berkata mereka menerima panggilan pada jam 9.37 pagi dan seramai 44 anggota bergegas ke lokasi.

Menurutnya, ketika tiba rumah berkenaan hangus sama sekali dan api berjaya dikawal bagi mengelak di rumah berhampiran dengan mengambil masa kira-kira 15 minit.

Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 5:40pm
d