mutakhir

Agihan hibah TH kompetitif - PM

Oleh Nazura Ngah

DATUK Seri Najib Razak berkata pengurusan yang cekap membolehkan Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan hibah atau bonus kepada pendeposit sebanyak 4.50 peratus selain hibah haji 1.75 peratus.

Perdana Menteri berkata, nilai yang merangkumi keseluruhan 6.25 peratus itu adalah kompetitif serta lebih tinggi daripada tahun lalu.

“Alhamdulillah, hasil pengurusan cekap, TH hari ini isytiharkan hibah tahunan 4.50 peratus dan hibah haji 1.75 peratus untuk jumlah keseluruhan 6.25 peratus, nilai cukup kompetitif serta lebih tinggi daripada tahun lalu,” katanya menerusi entri di laman sosial rasminya hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, hari ini mengumumkan agihan hibah atau bonus kepada pendeposit selain tambahan hibah haji kepada yang belum menunaikan haji bagi tahun kewangan 2017 membabitkan pembayaran sebanyak RM2.7 bilion.

Bayaran hibah sebanyak 6.25 peratus ini akan memberi manfaat kepada 93 peratus atau 8.7 juta pendeposit yang belum menunaikan ibadat haji.

Bagi 600,000 pendeposit yang sudah menunaikan haji akan menerima hibah sebanyak 4.50 peratus.

Tahun lalu, TH mengumumkan 4.25 peratus hibah tahunan dan tambahan hibah haji sebanyak 1.5 peratus kepada pendeposit yang belum menunaikan haji bagi tahun kewangan 2016 membabitkan pembayaran berjumlah RM2.88 bilion.

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 5:52pm
d