mutakhir

Lalok tertidur dalam kereta curi

Oleh HM Digital

Segamat: Akibat lalok kesan dadah, seorang penjenayah terlena dalam kereta yang ingin dilarikan di tempat letak kereta di Jalan Kek Wa dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 pagi, lelaki berusia 25 tahun itu memecah masuk kereta Proton Saga dan menghidupkan enjin serta pendingin hawa sebelum tertidur.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Raub Selamat berkata, kejadian disedari pemilik kereta berusia 29 tahun sebelum menghubungi polis.

“Suspek tertidur di tempat duduk pemandu dan berdengkur kuat. Suspek terkejut apabila pemilik kereta menghampiri dan cuba membuka pintu untuk melarikan diri, tetapi akibat panik, pintu kereta itu tersekat dan suspek terkunci di dalam kenderaan.

“Polis tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian dan menahan suspek. Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Raub berkata, hasil siasatan lanjut, polis menahan tiga lelaki warga Indonesia berusia 23 hingga 30 tahun yang menunggu suspek pertama dalam kereta berhampiran lokasi kejadian.

Disiarkan pada: February 8, 2018 @ 3:44am
d