mutakhir

Pendaki sesat tak ikut laluan biasa

Oleh HM Digital

Kulai: Kegagalan mengikut laluan biasa di Hutan Lipur Gunung Pulai dipercayai menjadi punca dua warga Singapura, Tan Chang Xiang Dominick dan Lum Jie, masing-masing berusia 27 tahun sesat di kawasan itu sejak Isnin lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, kemungkinan itu diambil kira berikutan ramai pengunjung terkeluar daripada laluan disediakan di gunung terbabit.

“Kawasan rekreasi ini sangat popular dalam kalangan warga tempatan dan luar terutama rakyat republik itu. Laluan khusus disediakan untuk kemudahan pendaki, tetapi ramai keluar daripada laluan itu dan suka melihat flora dan fauna yang cantik,” katanya pada sidang media di pusat operasi Hutan Lipur Gunung Pulai di sini, semalam.

Sehubungan itu, Mohd Khalil menasihatkan orang ramai supaya mengikut laluan disediakan untuk pendaki bagi keselamatan mereka.

“Jika mahu mengikut laluan lain, pendaki perlu tahu tanda dan tatacara mendaki yang betul supaya mudah mengetahui laluan berpatah balik. Biasanya kalau ikut laluan ditetapkan, pendaki tidak akan sesat,” katanya.

Mohd Khalil berkata, setakat ini siasatan tidak membabitkan unsur jenayah dan ini kejadian pertama membabitkan mangsa hilang lebih 48 jam di kawasan gunung terbabit.

“Ini kali pertama mangsa sukar ditemui dan lewat daripada tempoh 48 jam. Setakat ini belum ada petanda yang boleh membawa kepada penemuan mangsa. Kita tahu mereka ada telefon tetapi tidak dapat dihubungi disebabkan kehabisan bateri.

“Keadaan cuaca buat masa ini baik membolehkan usaha mencari mangsa dilakukan dengan pembahagian pencarian membabitkan beberapa sektor,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulai Mohd Khairi S Zainudin berkata, mangsa dipercayai sesat di sektor dua di Bukit 308 di Hutan Lipur Gunung Pulai.

Disiarkan pada: February 8, 2018 @ 3:45am
d