mutakhir

Ibu terbayang derita anak

Oleh Kalbana Perimbanayagam

Selayang: “Sedangkan sakit terkena jarum pun dia tidak mampu tahan, saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaannya ketika menghadapi kejadian itu (diserang dengan pisau pemotong sayur),” kata M Letchumy, 59, ibu D Tharani, 35, yang maut ditikam rakan sekerjanya, Isnin lalu.

Wanita berkenaan yang tidak berganjak daripada keranda ketika upacara pengebumian berkali-kali mengulangi ayat ‘kenapa kamu tinggalkan kami lebih awal?’.

Letchumy berkata, Tharani anak paling manja dalam keluarga.

“Bagaimana dia boleh melakukan ini kepada anak saya? Orang yang melakukan perbuatan ini lebih teruk daripada haiwan,” katanya.

Menurutnya, Tharani kelihatan terganggu baru-baru ini dan tiga minggu lalu, mendiang memaklumkan kepada sepupunya dia ada masalah di tempat kerja, namun tidak menceritakan lebih lanjut.

“Kami baru tahu masalah dihadapi itu semalam (kelmarin) selepas dimaklumkan. Bagaimanapun, sepupunya tidak bertanya lebih lanjut mengenainya kerana dia fikir ia hanya tekanan di tempat kerja,” katanya di rumah mereka di Bandar Baru Selayang di sini.

Suasana pilu dan penuh emosi menyelubungi pekarangan krematorium Sentul, dekat Bandar Baru Sentul, ketika ahli keluarga dan kenalan rapat memberi penghormatan terakhir kepada mendiang sebelum disemadikan petang semalam.

Tharani maut ditikam di leher menggunakan pisau pemotong sayur oleh rakan sekerjanya ketika berada dalam kereta di kawasan parkir pasar raya di Kota Damansara, jam 1.30 tengah hari Isnin lalu.

Selepas menikam mangsa, suspek memandu ke Balai Polis Damansara untuk menyerah diri bersama mayat mangsa yang dibawa dalam kereta terbabit.

Letchumy berkata, anak gadisnya kerap mengelak berbincang mengenai topik perkahwinan kerana mahu menjaga ibu bapa.

Disiarkan pada: February 8, 2018 @ 3:47am
d