mutakhir

Ibu bapa sakit kronik

Oleh Betty Subaryati

Kota Bharu: “Bukan tidak mahu ke sekolah, tapi keluarga tidak mampu,” kata seorang remaja berusia 13 tahun yang berhenti sekolah sejak tahun lima kerana kemiskinan.

Wan Nor Akhma Wan Mohd berkata, adiknya, Wan Mohd Nazrul, yang juga murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Demit di sini, hanya sempat beberapa hari saja mengikut pembelajaran sebelum berhenti sekolah.

“Adik bongsu, Wan Mohd Nabil Nor Hakimi yang berusia enam tahun juga tidak dihantar ke tadika kerana keluarga tidak mampu.

“Bapa, Wan Mohd Fairuz Wan Yusoff lumpuh dan ibu, Nor Farin Hinde Abdullah pula menghidap penyakit kronik sejak beberapa tahun lalu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kehidupan Wan Nor Akhma mendapat perhatian Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa Datuk Zaluzi Sulaiman yang mengunjungi rumah keluarga itu di Kampung Panji, di sini semalam.

Sementara itu, Wan Mohd Fairuz, 41, berkata, dia dan isteri tidak mampu menyediakan perbelanjaan persekolahan untuk anak mereka.

“Kehidupan kami ibarat kais pagi makan pagi dan kami mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan dan ia hanya mencukupi untuk membayar sewa rumah.

“Bantuan bulanan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pula dibelanjakan membeli ubat dan makan harian lima beranak,” katanya.

Zaluzi pula berkata, pihaknya prihatin dan akan membantu bagi meringankan beban keluarga itu terutama menyelesaikan masalah persekolahan tiga beradik berkenaan.

“Disebabkan pasangan suami isteri itu penghidap sakit kronik, kami akan membantu mereka bagi memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan memberi modal awal berniaga.

“Pada hari ini juga wakil Pejabat Pendidikan daerah (PPD) Kota Bharu hadir sama bagi membolehkan kes keciciran persekolahan diselesaikan,” katanya.

Disiarkan pada: February 8, 2018 @ 4:10am
d