mutakhir

Hantar wang tanpa lesen

Oleh Ibrahim Isa

Johor Bahru: Dua pengarah urusan syarikat penghantaran wang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tiga pertuduhan mengambil dan menghantar wang tanpa lesen sejak enam tahun lalu.

Pengarah Urusan Nautical Sierra Sdn Bhd, Akmal Shah Mhd Shafie, 37, dijatuhi hukuman penjara 15 bulan manakala Pengarah Urusan Seri Anggerik Enterprise Sdn Bhd, Arus Md Salleh, 30, dijatuhi hukuman penjara enam bulan dengan kedua-dua hukuman ditetapkan bermula semalam.

Hakim Aizatul Akmal Maharani menjatuhi hukuman itu selepas mengambil kira 246 pertuduhan lain yang dihadapi kedua-dua tertuduh sebelum ini, selain melucutkan hak wang tunai berjumlah RM455,000.

Pada mulanya, kedua-dua tertuduh berdepan 246 pertuduhan membabitkan nilai RM248 juta namun hanya tiga pertuduhan didakwa di mahkamah semalam, selepas kedua-duanya mengaku bersalah.

Terdahulu, Aizatul Akmal berkata, hukuman dijatuhi dengan mengambil kira semua pertuduhan dan melucutkan hak ke atas wang tunai RM455,000 daripada akaun bank dua syarikat yang dibekukan.

“Saya tidak membebas dan melepaskan mereka daripada pertuduhan lain, namun bersetuju dengan persetujuan pihak pembelaan dan pendakwaan hukuman ini mengambil kira semua pertuduhan lain,” katanya.

Akmal Shah mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Perkhidmatan Perniagaan Wang 2011 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) dan boleh dipenjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam bulan berkuat kuasa selepas hukuman pertama selesai menjadikan keseluruhan dia perlu menjalani hukuman penjara 15 bulan.

Sementara itu, Arus dijatuhi hukuman penjara enam bulan mengikut seksyen sama selepas mengaku bersalah.

Kedua-dua tertuduh didakwa menjalankan perniagaan pengiriman wang tanpa lesen sejak Januari 2012 membabitkan urus niaga berjumlah RM248 juta.

Mahkamah menetapkan 22 Mei depan sebagai tarikh tuntutan awam iaitu kepada mana-mana pihak yang pernah berurusan dengan dua syarikat itu untuk menuntut semula wang mereka dengan mengemukakan bukti urus niaga.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bank Negara Malaysia, Alvin Ong dan Timbalan Pendakwa Raya Husmarudin Husin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela Rosli Kamaruddin serta Azmi Ahmad Bakri.

Disiarkan pada: February 8, 2018 @ 4:21am
d