mutakhir

Tragedi kebakaran tahfiz cetus inovasi

Oleh Norasikin Daineh

JERIJI origami yang fleksibel serta mudah dibuka dengan kepantasan dua saat sekali gus boleh mengelak mangsa terperangkap dalam kebakaran.

Inovasi itu dihasilkan empat pelajar dan seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bugaya II, Semporna membolehkan mereka dinobatkan pemenang utama pertandingan inovasi peringkat antarabangsa, Isnin lalu.

Pertandingan Harta Intelek, Pameran Penciptaan, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2018 (IPITEx 2018) yang berlangsung di Bangkok, Thailand itu sekali gus mempromosikan produk dihasilkan mereka di persada antarabangsa.

Guru pengiring, Azlinah Ispal berkata, idea mencipta jeriji origami itu tercetus selepas terkesan dengan tragedi menimpa 23 pelajar tahfiz termasuk dua guru yang rentung dalam kebakaran di sebuah pusat tahfiz di Kuala Lumpur, 14 September lalu.

"Selepas tragedi itu, saya bertanya kepada pelajar apa yang kita boleh lakukan sebelum kami membuat uji kaji menggunakan kepingan kertas dan penyepit makanan untuk melipat secara 3D.

"Apabila sudah dapat mekanisme, ia dipraktik menggunakan logam namun kurang sesuai sebelum kimpalan besi jenis R5 digunakan.

"Ketika pembinaan dilakukan, banyak halangan terpaksa dihadapi termasuk dari segi rekaan tidak seperti yang kami mahukan iaitu berbentuk origami tetapi kuat dan kukuh," katanya ketika dihubungi.

Azlinah yang juga guru inovasi berkata, hasil kerja keras sehingga terpaksa bermalam di sekolah, mereka akhirnya berjaya mencipta jeriji origami yang kukuh dan boleh dibuka dalam tempoh dua saat saja.

"Jeriji ini turut mendapat kelulusan daripada ujian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi ujian kepantasan masa dan kekuatan struktur daripada Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebelum dipertandingkan," katanya.

Rekaan jeriji origami dibawa dalam pertandingan itu seluas 0.4 meter persegi direka menggunakan besi dan ada kunci tersembunyi bagi menggantikan kunci mangga, selain dari menerapkan elemen ilusi optik untuk mengelirukan pencuri yang mencuba nasib.

Empat pelajar yang mencipta jeriji itu ialah pelajar Tingkatan Lima, Nurul Shafiqah Abdullah, Erna Ermirah Amil Hasan, Nur Zahirah Zainal Abidin dan Nurlinda Mad Sail.

SMK Bugaya II adalah Transformasi Sekolah TS25 1.0 yang mengamalkan konsep pembelajaran Project-Based Learning (PBL) di mana pelajarnya dibimbing untuk mencipta sesuatu berdasarkan masalah dan jeriji berkenaan adalah Projek Rintis PBL.

Ia dinamakan jeriji origami bagi menerapkan konsep origami Jepun iaitu 'Ori' bermaksud kertas dan 'Gami' bermakna lipat memandangkan jeriji itu seperti dilipat jika dibuka kerana sifatnya yang fleksibel supaya pantas dibuka.

Menceritakan detik ketika pertandingan itu, Azlinah berkata, mereka melakukan demonstrasi kepada juri termasuk menayangkan semula video kebakaran pusat tahfiz berkenaan.

"Walaupun video itu menyayat hati kami, tetapi terpaksa dilakukan... ketika itu saya bertanya kepada mereka, adakah anda sanggup berada di tempat itu (pusat tahfiz) dan daripada air muka mereka, nampak kesedihan sebelum kami dipilih sebagai juara.

"Saya terharu dengan usaha keras pelajar saya... sebab kita melihat masalah pusat tahfiz itu bukan di situ sahaja tetapi dimana-mana pun boleh berlaku," katanya yang merancang memperkenalkan hasil kerja kepada umum.

Disiarkan pada: February 8, 2018 @ 11:39am
d