mutakhir

Dua artis belum muncul

Oleh Safeek Affendy Razali

DUA lagi individu yang sebelum ini dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan Datuk Farid Kamil, masih belum tampil kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Kedua-dua mereka yang masing-masing adalah ahli kumpulan R&B dan nasyid masih gagal menghadirkan diri selepas dihubungi polis sejak beberapa hari lalu.

Selain dua individu terbabit, seorang lagi individu yang dipanggil iaitu pelakon Sofi Jikan, sudah tampil menghadirkan diri di Balai Polis Mutiara Damansara, kelmarin, sebelum dikesan positif mengambil dadah jenis ganja.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya akan memberikan tempoh sehingga Jumaat ini kepada dua lagi individu terbabit.

"Kita hanya minta mereka tampil bertemu dengan pegawai penyiasat untuk proses merakam percakapan bagi membantu siasatan.

"Sekiranya mereka masih gagal untuk berbuat demikian, berkemungkinan akan ada tindakan selanjutnya mengikut prosedur ditetapkan," katanya ketika dihubung petang tadi.

Beliau berkata, tiada apa-apa yang perlu dirisaukan sekiranya mereka tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, mendedahkan identiti dua individu terbabit sebagai Taj ahli kumpulan Innuendo dan Firdaus dari kumpulan nasyid Osh.

Katanya, mereka diminta memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes memasukkan dadah dalam minuman Datuk Farid Kamil.

Pada 16 Januari lalu, Farid Kamil didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, atas empat pertuduhan iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh, dan mengganggu penjawat awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Berita berkaitan

Anda berdua diberi 24 jam!

Artis 90-an rupanya...

Dua lagi dikenal pasti selepas Sofi Jikan

'Kasi sengat' kena reman [METROTV]

Disiarkan pada: February 8, 2018 @ 5:11pm
d