mutakhir

Bahana maki polis

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

AKIBAT berkelakuan tidak senonoh termasuk memaki hamun anggota polis dengan perkataan lucah, penganggur dijatuhkan hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di Batu Pahat, semalam.

Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Leong Giin Yong, 31, yang mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara maksimum enam bulan, jika disabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Batu Pahat pada 2.30 petang, 2 Febuari lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, semasa saksi yang juga pengadu bertugas didatangi tertuduh yang kemudian mengamuk dan memaki dengan mengeluarkan perkataan kesat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mustaqim Sukarno, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, saksi cuba menenangkan lelaki terbabit tetapi tertuduh masih bertindak agresif dan meneruskan memaki hamun dengan perkataan kesat.

"Kejadian terbabit turut disaksikan rakan setugas yang cuba bertanyakan masalah dan menenangkan tetapi suspek terus cuba menyerang anggota bertugas dan berlaku pergelutan semasa mahu laksanakan tangkapan.

"Seterusnya pengadu serta petugas lain terus menangkap lelaki terbabit kerana berkelakuan tidak senonoh dan cuba menyerang anggota polis.

"Semasa tangkapan dilakukan, suspek terbabit mengalami kecederaan luka di bahagian bahu kiri," katanya.

Beliau berkata, tertuduh melakukan perbuatan demikian di pejabat pertanyaan disebabkan tertekan kerana tiada pekerjaan dan tiada wang untuk kegunaan dirinya.

"Hasil saringan awal ujian air kencing terhadap tertuduh didapati negatif dadah, namun mempunyai tiga rekod tangkapan lampau iaitu dua kes judi dan satu rekod dadah," katanya.

Disiarkan pada: February 8, 2018 @ 9:53pm
d