mutakhir

Hilang 5 jam

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

Kuantan: Suami isteri lega apabila kereta mewah Audi mereka yang dilarikan penyamun selepas memecah masuk rumah dua setengah tingkat di Balok, dekat sini, ditemui semula pagi tadi.

Mangsa, Lutfanul Iman Abdul Rahman, 35, mendakwa kenderaannya dilarikan perompak yang menemui kunci dan kad ekses keluar masuk kawasan kejiranan berpagar itu.

Beliau berkata, ketika kejadian mereka nyenyak tidur dan menyedari rumah dipecah masuk jam 5 pagi apabila mendapati tingkat bawah rumah digeledah.

“Kami masih trauma dengan kejadian memandangkan perompak memasuki rumah dengan memanjat melalui balkoni menggunakan tali. Lebih merisaukan apabila anak saya berusia antara setahun hingga enam tahun juga tidur di bilik masing-masing.

“Syukur, kami anak beranak semua selamat dan tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurut jurulatih pemakanan kesihatan itu, kehilangan kereta Audi yang menjadi tular di laman media sosial ditemui di Sungai Ular jam 10 pagi tadi.

“Saya memuat status kehilangan kereta itu dan dalam tempoh singkat menjadi tular hingga ditemui dalam tempoh lebih kurang lima jam,” katanya.

Lutfanul Iman berkata, keretanya itu ditemui seorang anggota polis yang kebetulan bercuti.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 7:56am
d