mutakhir

15 minit panik

Oleh NurSaliawati Salberi

KANAK-kanak perempuan diselamatkan pasukan bomba selepas terkunci selama 15 minit dalam kereta bapanya di stesen minyak di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 10.30 malam, mangsa berusia tujuh tahun dikatakan tertidur di dalam Perodua Myvi selepas bapanya keluar membeli barang di pasaraya.

Bagaimanapun apabila kembali ke kereta, lelaki berusia 30-an itu panik selepas gagal membuka pintu kenderaan dan mengejutkan anaknya yang terbaring di tempat duduk bahagian penumpang hadapan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Mohd Din berkata, sejurus menerima panggilan 10.10 malam, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Salehin Abd Ghani dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, apabila tiba anggota bomba mendapati terdapat seorang kanak-kanak terperangkap di dalam kereta dalam keadaan terbaring.

"Walaupun pihak bomba dan bapa cuba mengejutkan kanak-kanak perempuan itu dengan mengetuk pintu serta memanggilnya, namun tiada sebarang tindak balas.

"Anggota turut menggunakan lampu suluh dengan menghalakan ke arah mukanya, bagaimanapun tidak berjaya juga, sebelum terpaksa menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kereta berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kamarulzaman berkata, kerja menyelamat berjaya dilakukan dalam tempoh kira-kira lima minit sebelum pintu kenderaan itu berjaya dibuka.

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 6:25pm
d