mutakhir

Wanita maut tercampak

Oleh Farah Suhaidah Othman

Batu Gajah: Seorang wanita maut manakala anak dan bapanya cedera apabila kereta mereka naiki terbabit kemalangan di lampu isyarat Batu Gajah Sentral, Jalan Pusing di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.40 malam itu, Fauzidah Ahmad, 46, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan kereta Perodua Kancil maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Bapanya berusia 73 tahun yang memandu kereta itu parah di dada dan kepala manakala anak Fauzidah berusia lapan tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Ahmad Tarmizi Shaari, berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan dari arah Pusing menghala ke pekan Batu Gajah sebelum hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

Katanya, kereta itu kemudian terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan tiang lampu isyarat.

“Akibat kemalangan itu, penumpang tempat duduk hadapan tercampak keluar dari kenderaan sebelum dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu kereta parah di beberapa bahagian badan termasuk dada, leher dan kepala manakala penumpang kanak-kanak cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ahmad Tarmizi berkata, mayat Fauzidah dihantar ke Unit Forensik Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat pagi semalam.

“Bapa mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut manakala anak mangsa dirawat di Hospital Batu Gajah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati kawasan terbabit adalah simpang empat dan terletak di kawasan bandar.

Katanya, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 10, 2018 @ 6:12am
d