mutakhir

Tindakan tetap diambil

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

FELDA akan mengambil tindakan undang-undang atau disiplin dalaman terhadap Pengerusi, Ahli Lembaga dan beberapa pegawai yang dinamakan dalam laporan akhir audit forensik ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), walaupun ada pihak mendakwa mereka tidak terbabit dalam transaksi pemindahan hak milik tanah.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata, tindakan diambil Jawatankuasa Siasatan ditubuhkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah kelmarin adalah atas segala syor membabitkan FELDA dan FELDA Investment Corporation (FIC) yang dikeluarkan dalam laporan audit forensik.

“Soal beliau (bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad) terbabit atau tidak, itu terpulang kepada dia. Segala penemuan terhadap forensik akan dikaji untuk tindakan selanjutnya terhadap mereka yang disebut sebagai pihak bertanggungjawab.

“Sama ada tindakan undang-undang atau tindakan disiplin dalaman, ia bergantung pada hasil penelitian terhadap laporan akhir berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran Jauhar Prihatin Parlimen Johor Bahru, pecah tanah projek pembinaan jalan dan jambatan merentasi anak Sungai Tebrau serta Sekolah Agama Kerajaan Johor Fasa 5 Kampung Bakar Batu di Desa Hajah Hasnah di Johor Bahru, hari ini.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Amran A Rahman.

Shahrir berkata demikian ketika mengulas kenyataan Isa yang mengatakan beliau tidak ada kena mengena dengan FELDA dan meminta hal berkaitan isu FELDA diajukan kepada Pengerusi FELDA sekarang (Shahrir).

FELDA sebelum ini mempunyai 14 Ahli Lembaga termasuk pengerusi, manakala FIC pula memiliki lima Ahli Lembaga termasuk pengerusi.

Sementara itu, Shahrir menyifatkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, sebagai penghasut bersiri yang tidak membuat ‘kerja rumah’ sebelum melontarkan dakwaan mengatakan transaksi pindah milik tanah berlaku dalam tempoh beliau menjadi Pengerusi FELDA dan dalam pengetahuannya.

“Ya betul transaksi itu berlaku pada Mac tahun lalu ketika saya sudah memegang jawatan, namun perjanjian jual beli tanah berlaku pada November 2016. Perdaftaran hanyalah proses terakhir dalam soal pindah milik tanah berkenaan.

“Kita tak boleh cakap apabila berlaku Mac, saya tahu dan terbabit dalam soal itu. Kalau tidak ada jual beli, tidak ada proses pindah milik. Jadi Rafizi cakap seperti ini hanyalah tabiat dia menjadi penghasut bersiri,” katanya.

Kontroversi membabitkan tanah FELDA itu tercetus selepas BH dalam laporan muka depannya pada 21 Disember lalu mendedahkan agensi berkenaan berisiko kehilangan tanah miliknya di Jalan Semarak.

Pindah milik yang diragui itu dipercayai berlaku apabila FIC melantik Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Pasukan firma audit luar yang dilantik melakukan audit forensik ke atas projek KLVC menyerahkan laporan akhir kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2 Februari lalu untuk meneliti dan bersetuju ia memenuhi objektif pengauditan yang ditetapkan.

Berita berkaitan:

Audit forensik FELDA: Wujud unsur salah guna kuasa, rasuah?

Disiarkan pada: February 10, 2018 @ 4:26pm
d