mutakhir

Bukan arahan JPJ lah

Oleh Faris Fuad

DAKWAAN kononnya anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi arahan kepada beberapa pemandu lori untuk menanggalkan pakaian sehingga separa bogel adalah tidak benar.

Isu berkenaan timbul apabila gambar pemandu lori berkenaan dalam keadaan separa bogel bersama anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tular di media sosial.

Malah, ada pihak turut mendakwa pemandu lori terbabit tidak memenuhi 'suapan' diminta oleh anggota JPJ berkenaan menyebabkan mereka dalam keadaan sedemikian.

JPJ dalam satu kenyataan hari ini berkata, anggota penguatkuasa terbabit membuat rondaan di sekitar Jalan Aring ke Tasik Kenyir pada Mei 2015 dan mendapati terdapat tiga lori diletakkan di bahu jalan berkenaan menghalang aliran lalu lintas.

Susulan itu, katanya, pemandu lori berkenaan yang sedang mandi-manda di atas bukit berdekatan jalan terbabit segera bergegas turun dengan hanya berseluar dalam.

"Penguatkuasa mengarahkan individu berkenaan untuk mengambil pakaian mereka, namun mereka memberi alasan pakaian di atas bukit.

"Disebabkan malu dan takut dilihat oleh masyarakat, mereka duduk di sebelah kanan belakang kenderaan JPJ.

"Mereka sudah mohon maaf dan tidak akan mengulangi kesalahan sedemikian.

"JPJ juga sudah mengarahkan mereka untuk mengalihkan kenderaan berkenaan ke tempat yang lebih sesuai," katanya.

Pada masa sama, JPJ menyeru masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran maklumat yang belum sahih dan tidak rasmi.

"Sebarang penyebaran berita palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (akta 588).

"Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-keduanya sekali," katanya.

Disiarkan pada: February 10, 2018 @ 9:30pm
d