mutakhir

Laskar Muda TLDM maut kemalangan

Oleh Farah Suhaidah Othman

LASKAR Muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut manakala rakan sejawatannya parah selepas kereta dinaiki merempuh sebuah lagi kereta di Kilometer 28 Jalan Teluk Intan-Sitiawan di Sitiawan, hari ini.

Dalam kejadian 6.10 petang itu, pemandu Perodua Myvi, Laskar Muda Mohd Naqib Mohd Nasir, 24 maut di lokasi kejadian manakala penumpangnya, Laskar Muda Mohd Firdaus Zackariah, 24, parah.

Pemandu Nissan Almera berusia 65 tahun bagaimanapun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati Myvi dinaiki kedua-dua anggota tentera yang bertugas di Pangkalan TLDM Lumut dalam perjalanan dari Teluk Intan menghala ke Sitiawan.

Katanya, pemandu Almera dalam perjalanan dari tempat kerja di Sitiawan untuk pulang ke rumahnya di Hutan Melintang.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Myvi berkenaan dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh kereta Almera.

"Akibat kemalangan itu, pemandu Myvi disahkan maut di lokasi kejadian manakala penumpangnya parah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamad Zainal berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat pada 11 malam ini.

"Penumpang kereta berkenaan dalam keadaan kritikal dan dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati jalan di lokasi kejadian lurus dan garisan putus-putus serta cuaca dalam keadaan baik.

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 10, 2018 @ 11:35pm
d