mutakhir

'Saya mahu kehidupan'

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: “Saya mahu kad pengenalan bukan untuk jadi menteri, tetapi nak teruskan hidup seperti orang lain.”

Demikian luahan gadis tanpa identiti, Ain, 20-an sebaik memulakan langkah pertama menghantar borang permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, Khamis lalu.

Ain yang pernah dipaparkan dalam Harian Metro sebelum ini digelar ‘gadis tanpa identiti’ berikutan sejak lahir tiada dokumen pengenalan diri sehingga menyukarkannya meneruskan kehidupan untuk berumahtangga, bekerja dan mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan.

Dia yang dianggarkan berusia 24 tahun pernah ke Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) termasuk di Putrajaya untuk memohon MyKad namun tidak berjaya berikutan tidak ada bukti boleh menyokong dia dilahirkan di negara ini.

Kehidupannya rumit dan boleh dilabel orang hanyut kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri berikutan tiada mana-mana negara mengiktirafnya sebagai rakyat yang sah.

Katanya, dia berharap sinar baru menerangi hidupnya apabila menghantar borang permohonan dan membawa dua penganjur seperti ditetapkan oleh agensi itu untuk mendapatkan MyKad.

“Seperti disyaratkan JPN, membawa penganjur berusia 40 tahun ke atas dan mengenali saya lebih 10 tahun.

“Alhamdulillah, saya menjejaki semula kakak angkat dan bersyukur dia sudi menjadi penganjur, diharap kemelut tanpa identiti ini berakhir supaya saya meneruskan kehidupan seperti orang lain,” katanya.

Menurutnya, selepas menghantar borang permohonan dia diberikan dua resit pencarian lewat kelahiran dan borang lewat kelahiran.

“Pegawai berkenaan memberitahu saya serta penganjur akan dipanggil untuk temuduga dan saya bersedia dengannya,” katanya.

Dia yang kini berniaga nasi lemak memberitahu sebelum ini dia dijaga dari tangan ke tangan dan ada mengatakan ibunya pelacur.

“Jika betul ibu saya pelacur, saya terima takdir ini tetapi kenapa saya perlu tanggung kesalahan itu untuk meneruskan hidup.

“Malah, ada berpendapat ibu bapa saya rakyat asing dan kemungkinan dibawa masuk ke negara ini oleh sindiket pemerdagangan manusia, apa pun pendapat diberikan saya terima dan reda serta menganggap ini takdir tertulis,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendaftaran Bahagian Kelahiran Kematian Anak Angkat JPN Marsheila Selamat berkata, pihaknya mengesahkan menerima permohonan daripada gadis itu dan siasatan lanjut dijalankan segera.

Disiarkan pada: February 11, 2018 @ 10:14am
d