mutakhir

Tragedi nasi lemak bertaburan

Oleh Mohd Khidir Zakaria

PENIAGA nasi lemak terselamat apabila sempat berlari keluar dari khemah gerainya di Bandar Springhill, Port Dickson, yang dirempuh kereta, pagi ini.

Dalam kejadian 7.40 pagi, kereta Honda Civic dipandu seorang wanita berusia 30-an dikatakan terbabas selepas cuba mengelak sebuah kenderaan lain yang keluar dari simpang berhampiran.

Peniaga terbabit, Azman Diran, 40, berkata, ketika kejadian dia sedang menyusun nasi lemak yang siap dibungkus di atas meja sebelum melihat kereta berkenaan terbabas ke arah gerainya.

"Saya segera melompat dan berlari ke belakang gerai manakala bungkusan nasi lemak saya bertaburan di atas jalan akibat dirempuh kereta itu.

"Kejadian berlaku terlalu pantas dan mujur tiada pelanggan ketika itu. Saya bersyukur hanya cedera ringan di kaki, namun khemah serta meja jualan saya musnah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Azman berkata, ia kejadian pertama berlaku sejak lebih tiga tahun berniaga di kawasan itu.

Disiarkan pada: February 11, 2018 @ 1:39pm
d