mutakhir

Bertimbun sampah

Oleh Norazimah Narudin

PENDUDUK di Flat Perumahan Taman Pulai Utama, Skudai di sini gusar dengan tindakan orang luar yang membuang dan melonggokkan sampah sesuka hati di rumah sampah yang sepatutnya untuk kegunaan penduduk di situ.

Tindakan yang tidak bertanggungjawab orang luar itu menyebabkan banyak masalah timbul termasuk mencacatkan pemandangan kawasan flat itu.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Pulai Utama, Ishak Ismail berkata gangguan dari orang luar ini berlarutan sudah bertahun-tahun.

"Perkara ini sudah lama berlaku tetapi kami tidak dapat menangkap mereka yang membuang sampah ini sebab mereka buang sampah waktu tertentu pada waktu malam, keesokan hari sampah sudah berlonggok di rumah sampah.

"Antara sampah yang dibuang termasuk sisa sampah makanan pengusaha katering, perabot lama, dahan pokok yang ditebang, sisa buangan binaan bangunan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Gerak Mesra dan Kem Kesihatan anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya Dr Zaini Abu Bakar bersama komuniti Dataran Flat Perumahan Taman Pulai Utama, Johor Bahru, hari ini.

Ishak berkata, kehadiran pencari besi buruk yang menyelongkar rumah sampah menjadikan keadaan rumah sampah bertambah tidak terurus.

Apa yang merisaukan penduduk di sini, katanya, sampah yang bertimbun mendatangkan banyak wabak penyakit dan pembiakan haiwan perosak seperti nyamuk aedes dan tikus.

Sementara itu seorang penduduk Mohamad Iskandar Roslan, 34, berkata, keadaan bertambah teruk apabila jadual kutipan sampah terlambat menyebabkan sampah bertimbun.

"Penduduk di sini sudah ramai, jadi sampah pun banyak, ditambah pula sampah orang luar, memang sampah akan bertimbun. Kalau boleh kami perlukan tong sampah yang lagi banyak.

"Kami penduduk di sini risau, rumah sampah yang kotor boleh memudaratkan kesihatan penduduk di sini," kata bapa kepada dua orang anak itu.

ADUN Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar mengulas mengenai isu sampah itu berkata, masalah ini dapat diatasi jika penyiasatan dan penjagaan yang lebih kerap dari pihak komuniti dilakukan.

"Selain itu mereka boleh berhubung dengan pihak Majlis Perbandaran Iskandar Putri (MBIP) unit bahagian sampah untuk datang menyiasat dan memberi nasihat yang terbaik untuk cara pembuangan sampah di sini," katanya.

Sementara itu, Gerak Mesra dan Kem Kesihatan anjuran ADUN Nusajaya bersama komuniti Dataran Flat Perumahan Taman Pulai Utama berlangsung bermula 8.00 pagi sehingga 12 tengahari.

Dalam program yang disertai beberapa agensi kerajaan itu, 200 orang penduduk berkesempatan melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Antara pemeriksaan kesihatan secara percuma dilakukan oleh kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru iaitu Pap Smear, pemeriksaan payudara, kolestrol darah dan sebagainya.

Turut terbabit dalam program itu termasuklah Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kelab Motor Otai Retro Pulai Utama.

Sumbangan keperluan harian seperti beras, gula, minyak turut disampaikan kepada 40 penerima yang terdiri dari keluarga susah dan ibu tunggal.

Penerima sumbangan, Norashikin Jamak 40, bersyukur menerima bantuan keperluan harian itu yang dapat mengurangkan beban perbelanjaan harian mereka sekeluarga.

"Suami seorang saja bekerja, saya tidak dapat bekerja kerana perlu jaga anak berusia dua tahun yang sakit tiroid selepas dilahirkan tidak cukup bulan," kata ibu kepada lima orang itu.

Bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban suaminya, Kempuk Razali yang bekerja sebagai Penyelia Tukang Cuci di pasaraya berdekatan.

Disiarkan pada: February 11, 2018 @ 1:44pm
d