mutakhir

Tragedi majlis hari lahir

Oleh Nor Azizah Mokhtar

DUA beradik lelaki maut ditetak selepas berlaku salah faham di majlis sambutan hari lahir di perkarangan Blok B Flat Damansara Bistari, Seksyen 19, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, dua beradik masing-masing berusia 44 dan 36 tahun berasal dari Batu 7, Jalan Damansara dikatakan ke majlis berkenaan yang diadakan di khemah hadapan Blok B flat berkenaan, pada tengah malam.

Difahamkan, lebih 30 tetamu termasuk wanita dan kanak-kanak pada mulanya makan malam di sebuah restoran berhampiran untuk sambutan hari lahir ke-21 seorang anak rakan mereka yang tinggal di flat terbabit.

Selepas selesai makan malam jam 11.30 malam, kebanyakan tetamu lelaki tidak terus pulang sebaliknya berkumpul untuk berbual dan minum termasuk minuman keras di khemah berkenaan termasuk kedua-dua mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaman lidah di antara kedua mangsa dengan tetamu lain di khemah terbabit.

“Ketika kejadian, kebanyakan mereka dikatakan berada dalam keadaan mabuk. Buat masa ini kita belum dapat pastikan apakah punca sebenar pertengkaran, namun perkara itu menyebabkan beberapa tetamu lain menyerang dua beradik itu dengan senjata tajam dipercayai parang.

“Kedua-duanya cedera parah akibat beberapa tetakan dan pasukan perubatan yang dikejarkan ke lokasi mengesahkan kedua-duanya meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Katanya, susulan kejadian itu, pihaknya menahan lapan individu termasuk seorang wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun bagi membantu siasatan.

“Kebanyakan yang ditahan adalah tetamu pada majlis hari lahir berkenaan termasuklah penganjur majlis.

“Senjata yang dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa turut ditemui di lokasi,” katanya.

Katanya, mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali memberitahu dia hanya menyedari kejadian itu kira-kira jam 5 pagi ketika keluar untuk ke tempat kerja.

“Saya tidak dengar sebarang bunyi bising, mungkin kerana kejadian itu berlaku ketika semua penduduk lain sedang lena tidur.

“Penduduk di sini kenal baik dengan penganjur majlis hari lahir itu kerana dia sudah lebih 11 tahun tinggal di flat ini dan ada minta kebenaran penduduk untuk mendirikan khemah untuk majlis berkenaan,” katanya ketika pemberita di sini, tadi.

Disiarkan pada: February 11, 2018 @ 3:45pm
d