mutakhir

Satu dah dicekup, satu lagi diburu

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

INDIVIDU bergelar Datuk ditahan, manakala seorang lagi lelaki dikesan polis membabitkan penipuan Projek Perumahan Mampu Milik 1Malaysia dianggarkan bernilai RM6 juta ditawarkan sebuah koperasi pembangunan hartanah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari berkata, suspek ditahan ketika menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada 3 petang Khamis lalu.

Katanya, suspek direman sehingga Isnin ini, manakala seorang lagi individu juga bergelar Datuk masih gagal dikesan.

“Menerusi salah satu aduan yang diterima, salah seorang mangsa mengalami kerugian sebanyak RM1.2 juta selepas membuat bayaran bon prestasi Projek Perumahan Mampu Milik 1Malaysia di Bukit Mambai, Johor pada Januari 2016.

“Namun, selepas enam bulan membuat pembayaran, mangsa dimaklumkan projek itu tidak jadi dijalankan dan diberikan satu surat projek yang sama di Bukit Katil, Melaka, namun suspek kemudian terus gagal dihubungi,” katanya.

Menurutnya, selepas lebih setahun menunggu dan gagal berhubung dengan wakil koperasi itu, mangsa kemudian bertindak menarik diri daripada projek berkenaan dan dijanjikan pemulangan semula wang yang sehingga kini langsung tidak diterimanya.

Katanya, sebanyak 12 kertas siasatan dibuka terhadap dua suspek berkenaan dan salah seorang yang direman akan dituduh dalam tempoh terdekat.

“Kesemua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2018 @ 6:15pm
d