mutakhir

RM2.30 jer bukannya RM23...

Oleh Nur Saliawati Salberi

“SAYA tidak faham motif dia tularkan perkara ini di media sosial. Kalau betul harga dikenakan tidak masuk akal, ia boleh dibawa berbincang,” kata pengusaha sebuah restoran asam pedas di Bukit Katil, Melaka, Hamdan Abd Hamid.

Hamdan, 39, mengakui dia terkejut apabila mengetahui premisnya tular di laman sosial Facebook (FB) apabila mengenakan harga RM23 bagi sepinggan kubis goreng.

Menurutnya, pelanggan terbabit mungkin salah faham kerana dakwaan harga tinggi bagi sepinggan kubis berkenaan adalah tidak benar.

“Sayur (kubis) yang diambil hanya dikira RM2.30, mungkin dia salah dengar RM23 itu adalah untuk kobis goreng. Mana boleh sayur, nasi dan telur masin dikenakan harga sebegitu.

“Asam pedas untuk bahagian ekor kebiasaan antara RM25 hingga RM28, ikan jenahak atau merah sedia maklum mahal dan kepala pula RM40, jadi apa yang dibayar adalah jumlah yang betul,” katanya ketika ditemui di premisnya di Bukit Katil, hari ini.

Kisah caj sayur kubis goreng menjadi bualan hangat netizen apabila status dan video berdurasi 14 saat yang dimuat naik pemilik FB pada Rabu lalu mendapat pelbagai reaksi termasuk ada yang mengecam pemilik kedai makan berkenaan.

Pemilik FB itu meluahkan rasa kesal apabila dia dan rakannya yang berkunjung ke Melaka dan singgah makan tengah hari di kedai asam pedas berkenaan dikenakan caj yang mahal RM120 untuk empat orang.

Dakwanya, dia bersama empat rakannya mengambil lauk asam pedas secara berasingan masing-masing tiga bahagian ekor, kepala ikan yang dibelah dua, sayur kubis serta tiga pinggan nasi dan air.

Disiarkan pada: February 11, 2018 @ 6:39pm
d