mutakhir

HKK taraf dunia

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kuala Krai: Kemudahan Hospital Kuala Krai (HKK) yang bernilai RM300 juta di sini mampu menjadi pemangkin pembangunan ekonomi di negeri ini.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata hospital bertaraf antarabangsa itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Mac depan.

Beliau berkata, HKK memberi manfaat dan impak positif kepada ekonomi masyarakat Kelantan amnya dan Kuala Krai khususnya.

“Sebaik HKK beroperasi, sebanyak 2,700 perjawatan disediakan di hospital ini, sekali gus memberi limpahan besar pembangunan di sekitar kawasan ini.

“Antaranya pembinaan rumah, pusat perniagaan, restoran, dobi, hotel dan sebagainya yang menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Ini secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada pembangunan di Kuala Krai khususnya dan Kelantan keseluruhannya” katanya pada sidang media selepas melawat projek Hospital Kuala Krai di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Datuk Yahaya Mamat, Pengarah Jabatan Kerja Raya Kelantan Datuk Ir Razani Ab Lazid dan Pengarah HKK Dr Mohd Salleh Mat Jusoh.

Mustapa meluangkan masa hampir sejam melawat HKK dan mendengar taklimat berhubung projek berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, rakyat sewajarnya berbangga kerana memiliki hospital bertaraf dunia dengan kos hampir RM300 juta di negeri ini.

“Tidak banyak hospital di dunia yang canggih seperti ini dengan memiliki lapan bilik bedah dan memiliki doktor pakar. Oleh itu, kita harus berbangga dengan kemudahan ini hasil keprihatinan Kerajaan Persekutuan,” katanya

Beliau berkata, projek itu kini sudah siap 95.5 peratus dan akan siap sepenuhnya pada penghujung Mac depan.

Disiarkan pada: February 12, 2018 @ 9:44am
d