mutakhir

TH sedia khidmat terbaik

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

Seremban: Rata-rata jemaah yang menunaikan ibadat haji bersama Lembaga Tabung Haji (TH) amat berpuas hati dengan semua perkhidmatan disediakan bermula dari tanah air dan semasa di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

Jurutera, Ahmad Shahrazi Md Sidik, 39, berkata, sepanjang 52 hari menunaikan ibadat itu tahun lalu, dia dan isterinya tidak berdepan sebarang masalah dan dapat menjalani ibadah dengan selesa.

“Saya amat berpuas hati dengan semua perkhidmatan disediakan TH dan berharap ia akan terus dikekalkan demi keselesaan semua jemaah haji,” katanya.

Ahmad Shahrazi berkata, dia mula menyimpan dengan TH pada 2007 menerusi potongan gaji bulanan dengan niat untuk menunaikan haji.

Katanya, pemberian hibah atau bonus kepada pendeposit diumumkan baru-baru ini amat bermakna terutama kepada bakal jemaah kerana dapat menambah simpanan sedia ada.

Sementara itu, kakitangan swasta, Hamidah Zanon, 40, berkata, TH berjaya memberikan perkhidmatan cemerlang bermula dari sebelum menunaikan ibadat haji sehingga selesai sepenuhnya ibadat itu.

Selain itu katanya, sepanjang menjalani ibadat itu tahun lalu, dia dapat melihat petugas TH di Tanah Suci bekerja dengan bersungguh-sungguh menjaga kebajikan jemaah haji terutama mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

“Salah seorang rakan sebilik ketika di Makkah adalah seorang wanita yang berkerusi roda kerana mempunyai masalah kesihatan dan saya menyaksikan sendiri petugas TH sentiasa membantu mereka tanpa mengira masa sama ada untuk membawa ke klinik atau sepanjang menjalani ibadat haji,” katanya.

Hamidah berkata, ini jelas menunjukkan kakitangan TH sentiasa prihatin dengan jemaah haji dalam menangani sebarang masalah dan yang memerlukan bantuan.

Disiarkan pada: February 12, 2018 @ 9:53am
d