mutakhir

Kejutan hari lahir

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Kanak-kanak lelaki, Muhamad Danish Izzuddin Syaiful Khairy, 5, menerima kejutan daripada ibu bapanya apabila diberi peluang memakai seragam bomba ketika sambutan hari lahirnya yang disambut di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, semalam.

Lebih menarik apabila ia kali pertama JBPM Kedah meraikan hari lahir kanak-kanak di balai bomba itu.

Menurut ibunya, Siti Muzalina Morad, 39, dia membuat kejutan untuk anak keempat daripada lima beradik itu kerana Muhamad Danish Izzuddin sangat minat dengan pasukan bomba hinggakan setiap hari dia akan bercerita mengenai bomba.

Katanya, setiap hari ketika melalui hadapan JBPM Kedah untuk menghantar anaknya ke sebuah pusat asuhan di Taman PKNK, Muhamad Danish Izzuddin sering menyuarakan minatnya pada pasukan beruniform itu.

“Setiap kali lalu di sini dia akan beritahu saya dan suami, Syaiful Khairy Mahadzir, 42, yang dia suka tengok bomba seperti dalam rancangan kartun Upin Ipin bersama bomba sebelum ini.

“Disebabkan itulah saya dan suami merancang untuk menyambut hari lahirnya di sini dan terus menghantar e-mel kepada bahagian perhubungan awam JBPM Kedah, minggu lalu dan dua hari kemudian kami menerima emel balas dari JBPM,” katanya.

“Alhamdulillah, kami dapat merealisasikan impian anak kami untuk menjadi anggota “bomba” walaupun sehari dan disambut dengan 22 anggota bomba serta hampir 50 jemputan termasuk ahli keluarga dan sahabat handai,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut, semalam.

Siti Muzalina dan suaminya yang bekerja di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini berkata, mereka tidak menyangka pihak bomba akan memberi peluang untuk mengadakan majlis sambutan hari lahir yang jatuh pada 10 Februari, di situ kerana pasukan itu sentiasa sibuk dengan tugas menyelamat setiap hari.

Katanya, dia mengucapkan terima kasih kepada Pengarah JBPM Kedah, Abdul Razak Muda dan semua terbabit menjayakan majlis itu.

Disiarkan pada: February 12, 2018 @ 10:17am
d