mutakhir

Pasangan terima pingat kenang jasa

Oleh Mary Victoria Dass

Ulu Tiram: “Selama 21 tahun saya dan isteri berkhidmat di Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kami pernah berdepan pelbagai cabaran termasuk tinggal berjauhan hampir lima tahun selepas berumah tangga, namun semangat kesetiaan kepada negara dan saling memahami menjadi pengikat kasih,” kata Abdul Talib Kundik, 57.

Abdul Talib dan isteri, Siti Esah Sulaiman, 57, menjadi antara 424 penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) pada Majlis Penyampaian PJM kepada Veteran ATM Johor yang disampaikan sendiri oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, di sini hari ini.

Abdul Talib mengakui tidak menyangka berkongsi kenangan manis bersama apabila menerima PJM di pentas sama.

Katanya, dia dan isteri dimaklumkan berkaitan penganugerahan berkenaan dua minggu lalu.

“Ia kejutan manis bagi kami berdua yang juga anggota Persatuan Veteran ATM Cawangan Simpang Renggam. Ia mengimbas kembali pelbagai kenangan manis dan cabaran ditempuhi kami ketika berkhidmat dalam ATM.

“Saya bekerja sebagai tentera darat di Bahagian Pengurusan Kewangan mulai 1980 hingga 2001, manakala isteri pula di bahagian logistik di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mulai 1979 hingga 2000,” katanya.

Abdul Talib berkata, biarpun pernah berjauhan dengan keluarga termasuk ketika dipindahkan ke Melaka dan Sabah, dia sanggup menyahut cabaran itu demi negara yang tercinta.

Malah, katanya, sebagai anggota tentera, isterinya juga saling memahaminya dan sentiasa memberi semangat.

Disiarkan pada: February 12, 2018 @ 10:27am
d