mutakhir

Bahana ugut bunuh

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SURI rumah dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Kulim hari ini, selepas didapati bersalah melakukan ugutan bunuh terhadap seorang wanita dua tahun lalu.

Majistret R Manomani menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, R Samundiswari, 34, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap B Sri Pracha Nanthini, 39, di poliklinik milik suami Sri Pracha di Jalan Tunku Abidah, di sini, 3.40 petang pada 4 Jun 2016 selepas tidak berpuas hati kerana permintaannya untuk diberi layanan tanpa mengikut urutan, ditolak.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping manakala tertuduh diwakili peguam bela RSN Rayer.

Terdahulu, Rayer memohon hukuman penjara ditangguh kerana anak guamnya ingin membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah membenarkan hukuman penjara ditangguhkan, namun tertuduh perlu membayar denda RM8,000 dan jika gagal akan dipenjara enam bulan.

Disiarkan pada: February 12, 2018 @ 1:55pm
d