mutakhir

'Harap ada keajaiban'

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

HANYA keajaiban yang diharapkan keluarga kanak-kanak yang menjadi mangsa rabies di Kampung Bayur, Serian, yang terlantar sejak lima bulan lalu agar kembali pulih.

Muhamad Alfonda Michael, 8, menjadi mangsa rabies pertama di Sarawak yang masih hidup selepas disahkan mengidap wabak itu Ogos lalu.

Ibunya Jacqulin Jater, 33, berharap anak bongsunya itu dapat kembali pulih seperti sedia kala walaupun kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan.

Menurutnya, walaupun hanya terbaring sepanjang masa, namun anaknya itu tetap memberikan respon apabila namanya dipanggil ahli keluarga.

“Saya begitu berharap agar adanya keajaiban yang berlaku supaya anak saya kembali pulih sepenuhnya dan dapat meneruskan persekolahan seperti biasa.

“Setakat ini, segala keperluan hariannya diuruskan saya bersama suami dan dibantu ahli keluarga yang lain kerana anak bongsu hanya terbaring sepanjang masa walaupun sesekali memberi respon apabila nama dipanggil,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Bayur, di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam bersama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian meluangkan masa melawat mangsa.

Mangsa diserang anjing ketika berada berhampiran kilang kayu tempat ayahnya bekerja di Kampung Sanyabah, di Gedong, 17 Jun tahun lalu.

Namun, mangsa menunjukkan simptom rabies pada Ogos tahun lalu walaupun sudah mendapatkan suntikan vaksin sebanyak tiga kali di Hospital Serian.

Jacqulin berkata, ahli keluarga bersepakat membawa pulang Muhamad Alfonda ke rumah pada 31 Januari lalu bagi memudahkan dia dipantau selepas lima bulan menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Katanya, anaknya perlu dibawa untuk mendapatkan rawatan susulan setiap dua minggu di HUS selain dibekalkan mesin bantuan pernafasan oleh hospital.

Disiarkan pada: February 12, 2018 @ 4:55pm
d