mutakhir

'Berhentilah fitnah anak saya'

Oleh Shamsul Munir Safini

“Saya rindukan anak saya, hanya tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya,” kata R Muniandy, 54, bapa kepada M Vasanthapriya yang meninggal dunia 1 Februari kesan daripada susulan membunuh diri pada 24 Januari lalu.

Muniandy dalam sidang media di rumahnya di Nibong Tebal berkata, banyak pihak cuba memutar belit cerita mengenai kejadian sehingga lupa bahawa ia sedikit sebanyak mencemar nama baik anak serta keluarganya.

Katanya, beberapa akhbar melaporkan bahawa terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan bahawa mendiang mencuri telefon bimbit gurunya itu.

“Maklumat yang tidak mempunyai pengesahan sahih daripada pihak berkuasa itu tidak membantu kami berdepan dengan kehilangan anak saya.

“Bahkan, ada pihak tertentu cuba mengarahkan tumpuan ke arah mendiang dengan mendakwa anak saya sebelum ini cuba membunuh diri serta mempunyai masalah kesihatan,” katanya.

Menurutnya, sebuah akhbar melaporkan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan yang mengesahkan bahawa mendiang sebelum ini pernah mengelar tangannya pada 2016.

Dalam laporan itu juga, Kamalanathan menyatakan bahawa keluarga mendiang tidak membawa pelajar berkenaan berjumpa dengan kaunselor bagi mendapatkan rawatan kesihatan selanjutnya.

Muniandy berkata, anaknya tidak menghadapi masalah kesihatan mental dan menolak bahawa sebelum ini mendiang pernah cuba membunuh diri.

“Anak saya seorang yang normal dan sebagai bapanya saya yang terlebih dulu tahu sekiranya dia mempunyai masalah kesihatan mental.

“Dia seorang yang ceria dan sebelum ini tidak mempunyai masalah dengan rakan sekolahnya malah sentiasa disenangi guru di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Malaysian Tamilan Kular, David Marshel yang menganjurkan sidang media itu berkata, berita tidak sahih yang dilaporkan di media akan mencemarkan imej mendiang.

“Pelajar berkenaan sudah pun meninggal dunia dan tidak mempunyai peluang untuk mempertahankan dirinya.

“Jika benar, saya mohon pihak berkenaan menayangkan rakaman yang didakwa menunjukkan mendiang mengambil telefon bimbit gurunya ,” katanya.

Dalam kejadian 24 Januari lalu, pelajar tingkatan dua M Vasanthapiriya, 14, meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya pada 1 Februari lalu selepas cuba membunuh diri dengan menggantung dirinya menggunakan kain sari.

Disiarkan pada: February 12, 2018 @ 5:40pm
d