mutakhir

Selesaikan segera kes dera amah

Oleh Audrey Dermawan

PEJABAT Konsulat Indonesia di Pulau Pinang berharap polis menjalankan siasatan terperinci seterusnya menyelesaikan kes pembantu rumah warga republik itu yang meninggal dunia disyaki didera majikannya, semalam.

Timbalan Konsul Jeneralnya, Osrinikita Zubhana berkata, pihaknya berharap polis dapat menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kejadian itu. “Kita memberi perhatian yang amat serius terhadap isu ini kerana ia membabitkan seorang warga kami.

“Justeru, kita harap dengan bantuan polis di sini, kes ini dapat diselesaikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa, Adelina, 21, berasal dari Medan, Indonesia diselamatkan oleh anggota polis, Sabtu lalu selepas disyaki kerap didera oleh majikannya.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia pada jam 4.45 petang semalam ketika mendapat rawatan di Hospital Bukit Mertajam.

Ketika diselamatkan dari kediaman majikannya di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam, mangsa ditemui dengan pelbagai kesan kecederaan teruk di kepala, muka serta luka pada kedua tangan dan kaki.

Nasib Adelina mendapat perhatian selepas seorang pembantu Ahli Parlimen Bukit Mertajam membuat laporan polis mengenainya.

Osrinikita berkata, keluarga Adelina sudah dimaklumkan mengenai berita buruk itu.

“Kita akan berikan sebarang bantuan yang diperlukan mereka,” katanya.

Sementara itu, proses bedah siasat untuk memastikan punca sebenar kematian Adelina dijalankan pagi tadi, bagaimanapun pihak polis belum mendedahkan keputusannya.

Susulan kejadian itu, polis menahan majikan mangsa, sepasang adik-beradik lelaki dan perempuan berusia 36 dan 39 tahun untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Sementara itu di Georgetown, Pengarah Tenaganita, Glorene Das berkata, pihaknya mahu undang-undang khas dibuat untuk menangani kes sedemikian. “Peruntukan di bawah undang-undang Akta Pekerjaan untuk pembantu rumah nampaknya tidak memadai untuk melindungi mereka.

“Sampai bila kita mahu perkara sebegini berlarutan. Apa yang kita perlukan adalah satu undang-undang berasingan untuk mereka,” katanya.

Glorene berkata, selagi mereka ditakrifkan sebagai pembantu rumah dan amah dalam Akta Pekerjaan, ia mewujudkan set minda ‘tuan dan hamba’ dalam kalangan majikan.

“Kita perlu lebih serius untuk mencari punca mengapa ada majikan berasakan adalah normal untuk mereka mendera pembantu rumah mereka.

“Justeru, kita minta kerajaan melalui kementerian yang berkenaan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kematian Adelina, kerana tidak mewujudkan polisi dan undang-undang yang efektif untuk melindunginya daripada didera majikannya,” katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2018 @ 6:38pm
d