mutakhir

Ambil dadah untuk tambah tenaga, katanya...

Oleh Junaidi Ladjana

TERPAKSA mengambil dadah untuk fokus bekerja. Itu alasan enam rakan sekampung ketika ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Cegah di Kampung Karanaan Baru, Sook, Keningau, malam kelmarin.

Mereka ditahan di kediaman mangsa-masing dalam serbuan bermula 11 malam dan berakhir tiga jam kemudian.

Ketua Operasi AADK Keningau Azry Golbin@Azmi berkata, tangkapan dilakukan berdasarkan maklumat dan risikan selama seminggu.

"Ketika ditahan, mereka mengaku mengambil syabu, selain ketum dengan alasan kononnya untuk menambah tenaga ketika bekerja sebagai tukang rumah dan penoreh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azry berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut menahan dua lagi lelaki kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

"Kesemua mereka berusia 30 hingga 40 tahun dibawa ke pejabat AADK Keningau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983 kerana positif dadah jenis Methamphetamine atau syabu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, ibu bapa perlu sentiasa peka terhadap tingkah laku dan perubahan fizikal anak-anak supaya masalah penagihan dadah dapat dicegah pada peringkat awal lagi sebelum keadaan semakin teruk.

"Selain itu, aktiviti atau program pencegahan perlu dianjurkan oleh komuniti masing-masing sebagai langkah pencegahan awal dan mendedahkan masyarakat terhadap implikasi undang-undang sekiranya terbabit dengan dadah.

"AADK juga akan terus melakukan pemantauan bagi membanteras kegiatan penagihan dadah khususnya di daerah ini," katanya.

Operasi berkenaan membabitkan seramai enam anggota penguat kuasa AADK Keningau.

Disiarkan pada: February 13, 2018 @ 10:03am
d