mutakhir

Tragedi kena samun

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

WANITA maut selepas ditikam dengan senjata tajam dalam kejadian samun di Jalan Sutera 7, Taman Sutera Yong Peng, di sini awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata mangsa dikenali sebagai Tan Chi Ann, 47, pada mulanya ditemui masih hidup oleh orang awam pada 1.25 pagi sebelum dihantar dikejarkan ke Hospital Pantai tetapi disahkan meninggal pada 3 pagi

Katanya, mangsa sebelum itu dipercayai cuba mempertahankan beg tangannya daripada dilarikan penjenayah, namun suspek yang dipercayai lebih dari dua orang bertindak agresif sebelum menikam mangsa lalu melarikan diri menaiki motosikal.

“Mangsa baru pulang dari kerja sebagai tukang masak, dalam perjalanan ke rumahnya di Ang Lok Yuan, dekat Yong Peng. Mangsa dipercayai rebah kira-kira 50 meter dari lokasi motornya terbalik. Turut ditemui di lokasi kejadian tali beg tangan mangsa yang terputus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Op Selamat 12/2018 di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.

Abdul Wahib berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat kes meliputi pelbagai aspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil menghubungi 0192805037 atau 074363300.

Disiarkan pada: February 13, 2018 @ 2:37pm
d