mutakhir

[UPDATE] Polis tunggu laporan HKL

Oleh Safeek Affendy Razali

SEBARANG tindakan susulan berhubung laporan kes seorang kanak-kanak perempuan mendakwa dipaksa minum air mendidih oleh ibu tirinya akan dibuat sebaik laporan perubatan diperoleh.

Setakat ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Negeri Sembilan masih menunggu keputusan ujian perubatan dari Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

"Setakat ini pihak polis sudah merakam percakapan kanak-kanak berkenaan (mangsa), namun kami tidak dapat memberikan butiran lanjut sehingga keputusan laporan perubatan dikeluarkan.

"Ingin saya tegaskan, apabila laporan polis dibuat oleh ibu kandung mangsa, kertas siasatan dibuka dan laporan dijalankan oleh pegawai penyiasat," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Katanya, pihaknya sentiasa memandang serius kes seperti itu, namun dijalankan mengikut prosedur bagi membolehkan punca sebenar kejadian dikenal pasti sebelum sesuatu tindakan susulan dibuat.

"Antara perkara yang perlu diteliti adalah pengesahan pegawai perubatan sama ada mangsa benar-benar dipaksa minum air yang mendidih sehingga dia melecur atau disebabkan penyakit seperti ulser dan mungkin juga disebabkan kekurangan air.

"Perkara ini adalah penting bagi memastikan siasatan dan tindakan susulan dibuat secara tepat tanpa sebarang keraguan," katanya.

Menurutnya, beliau enggan mengulas butiran terperinci mengenai tindakan awal pihak polis kerana dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan selagi laporan perubatan belum dikeluarkan.

Katanya, setakat ini siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam kejadian pada Isnin minggu lalu, murid sebuah sekolah rendah di Lenggeng, Negeri Sembilan, melecur pada keseluruhan bahagian bibir selepas dipercayai dipaksa minum air panas yang masih menggelegak oleh ibu tirinya.

Kejadian dipercayai berlaku sehari selepas ibu kandungnya menghantar mangsa yang juga anak bongsu daripada empat beradik pulang ke rumah bekas suaminya di Lenggeng.

Berita berkaitan

Ya Allah, permudahkan urusan mereka... [METROTV]

Disiarkan pada: February 13, 2018 @ 4:36pm
d