mutakhir

Allahyarham cucu saudara Rabuan Pit, aktif sukan memanah

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

ALLAHYARHAM Nur Afini Roslan, 14, yang maut akibat terkena bilah pisau mesin rumput di Gemas, hari ini, dipercayai cucu saudara bekas Raja Pecut Asia, Datuk Rabuan Pit dan aktif dalam sukan memanah.

Seorang saudara mangsa yang enggan dikenali, ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini, hari ini, berkata Rabuan adalah datuk saudara sebelah bapanya dan remaja itu turut mewarisi bakat sukan keluarga mereka.

Sementara itu, ibu saudaranya berusia 56 tahun yang turut enggan namanya disiarkan berkata, Nur Afini pernah mewakili Pahang dalam sukan memanah beberapa tahun lalu.

"Arwah dan tiga beradik yang lain sangat aktif bersukan dan pernah mewakili Pahang dalam sukan memanah. Walaupun sudah berpindah sekolah dari Kuantan ke Gemas awal tahun ini, dia masih aktif memanah dengan dilatih oleh bapanya sendiri," katanya ketika ditemui perkarangan Unit Forensik di HTJ di Seremban, hari ini.

Melalui pencarian di Internet, nama Allahyarham tercatat pemanah mewakili Pahang pada Kejohanan Memanah Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2017 di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di Gong Badak, Terengganu pada Ogos lalu.

Sementara itu bapa arwah, Roslan Samad, 55, memberitahu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli yang dia reda dengan pemergian anaknya dan berharap pihak kontraktor yang melakukan kerja memotong rumput mengikut peraturan ditetapkan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Perkara itu disampaikan kepada Shamsulkahar yang datang ke HTJ untuk menziarahi jenazah Nur Afini dan memberi semangat kepada keluarganya.

Terdahulu, jenazah tiba di HTJ dari Hospital Tampin kira-kira jam 3.45 petang diiringi bapanya dan polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, Nur Afini meninggal dunia di tempat kejadian selepas kepalanya terpotong dua dipercayai selepas terkena bilah berkenaan.

Dua rakannya Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, pula hanya mengalami cedera ringan dalam insiden itu.

Disiarkan pada: February 13, 2018 @ 7:32pm
d