mutakhir

RM400,000 ganjaran

Oleh Faris Fuad

Kuala Lumpur: Ganjaran besar sebanyak RM400,000 sudah diberikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada 267 penjawat awam setakat akhir tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, ganjaran itu diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu terbabit yang melaporkan gejala rasuah kepada pihaknya.

Katanya, inisiatif berkenaan selari dengan surat dikeluarkan pejabat Ketua Setiausaha Negara pada tahun 2011 bertajuk Garis Panduan Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian Atau Penerimaan Rasuah.

“SPRM tidak boleh bergerak sendirian, perjuangan memerangi rasuah memerlukan kerjasama semua pihak.

“Saya berharap mereka boleh menjadi ejen kepada SPRM, menjadi mata dan telinga kepada SPRM.

“Bersahabat dengan SPRM dan terus membantu SPRM dalam membanteras rasuah,” katanya ketika berucap melancarkan kempen Gerakan Memerangi Pemberi Rasuah (GEMPUR) di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, semalam.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

GEMPUR adalah penjenamaan semula kepada kempen Perangi Pemberi Rasuah.

Slogan kempen baru itu iaitu Anda Hulur, Kami Lapor, bertujuan mendidik penjawat awam untuk menolak sebarang bentuk rasuah ketika bertugas.

Disiarkan pada: February 14, 2018 @ 7:02am
d